Cara mudah faham jata negara

Anda tahu tentang jata negara? Jata negara merupakan lambang kebesaran sesebuah negara. Sebagai rakyat terdapat beberapa cara untuk menghormati jata negara. Antara cara yang mudah ialah dengan memahami maksud sebenar disebalik simbol dan warna jata negara.

Maksud bintang pecah 14 adalah 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Malaysia. Manakala bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-negeri Selat suatu ketika dahulu.

Jata negara Malaysia

jata negara

Jata negara Malaysia juga mempunyai empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih adalah warna Pahang; merah dan kuning adalah warna Selangor; hitam, putih dan kuning adalah warna Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini adalah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan lambang bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan.

Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Semua simbol ini melambangkan perpaduan, keamanan dan sejarah negara, yang masing-masing mempunyai sejarah di sebalik jata negara